Elizabeth Tan: Selebriti Yang Mempunyai Pandangan Jauh Dari Sudut Kewangan

Elizabeth Tan: Selebriti Yang Mempunyai Pandangan Jauh Dari Sudut Kewangan

Siapa tak kenal mengenai Elizabeth Tan atau panggilan mesra di kalangan peminat beliau sebagai “Lizzy”?

Bermula dengan kemunculan sebagai seorang gadis ayu yang menyanyikan cover untuk lagu “Havoc” oleh Joe Flizzow di YouTube pada tahun 2013, Elizabeth Tan pantas memanjat tangga populariti.

Kini, beliau boleh dikategorikan di antara penyanyi perempuan paling terkenal dan diminati di Malaysia.

Sudah tentu sebagai seorang artis yang berjaya, beliau pasti mempunyai perancangan untuk masa hadapan & menarik untuk dikongsi bersama para peminat.

Penulis untuk laman iMoney, Emmanuel Surendra menemuramah Elizabeth Tan untuk menanyakan soalan-soalan serta nasihat berkaitan kerjaya, perniagaan dan kewangan.

Jom kita lihat, apa yang dikongsi oleh Lizzy:


Apa yang menjadi inspirasi anda (Elizabeth Tan) untuk melakukan cover “Havoc” di YouTube?

Sewaktu itu, saya baru pulang ke Malaysia setelah tinggal di Amerika Syarikat (AS) selama 2 tahun, dan saya sedang mencari lagu baru untuk dijadikan cover.

Salah seorang rakan saya mencadangkan lagu tersebut & setelah mendengarnya, saya hampir tak percaya dengan cadangan tersebut kerana ia merupakan lagu rap.

Saya mendengar lagu tersebut sekali lagi dan saya mengambil masa selama 10 minit untuk menggubah melodi menggunakan ukulele. Kemudian, saya ambil masa dalam sejam untuk menyiapkan rakaman.

Semasa meng-upload video tersebut, saya tidak menjangkakan apa-apa. Malah, saya juga tidak tahu yang Joe Flizzow sedang mengadakan konsert tour beliau.

Jadi, apabila peminat beliau membuat carian lagu tersebut di YouTube, video saya juga muncul — ini antara faktor kenapa video saya menjadi viral.

Saya memang tak jangkakan apa-apa sebenarnya.

Anda dilahirkan dalam keluarga penyanyi. Adakah ini (kerjaya sebagai penyanyi) merupakan pilihan semulajadi anda?

Sebenarnya, tak. Saya tak pernah terfikir yang saya akan menjadi seorang penyanyi. Malah sehingga kini, ia bukan passion atau impian saya sebenarnya.

Cuma bagi saya, ia rezeki dan siapakah saya ini sehingga saya ingin menolak rezeki? Sesetengah orang bermati-matian untuk mendapat peluang seperti saya.

Jadi, saya lakukan yang terbaik sebagai seorang penyanyi.

Ramai penyanyi & ahli musik menekankan mengenai ‘passion’ semata-mata. Pada pendapat anda, adakah itu sahaja mencukupi untuk terus kekal dalam industri?

Sudah tentu itu sahaja tidak mencukupi. Ia ibarat kata orang, kasih sayang tak boleh digunakan untuk membayar bil atau sewa.

Ramai artis yang berbahasa Inggeris di Malaysia menjadi tersinggung jika saya mempersoalkan bahasa pilihan mereka.

Hakikatnya, majoriti pendengar dan peminat lagu ini terdiri dari bangsa Melayu.

Walaupun wujudnya peminat di kawasan bandar, namun mereka selalunya hanya menyokong penyanyi kegemaran mereka dengan mendengar di radio — tetapi tidak membeli muzik anda di iTunes …

Untuk terus hidup dalam industri ini, seseorang penyanyi atau ahli muzik harus melakukan lebih banyak persembahan di majlis-majlis korporat. Dan ramai di kalangan staf syarikat korporat merupakan orang Melayu.

Jadi, jika anda tidak menyanyikan lagu dalam bahasa Melayu dan mensasarkan pendengar daripada bangsa Melayu, agak sukar untuk anda terus hidup dan relevan dalam industri ini.

Adakah ia juga merupakan sebab mengapa anda memberi fokus pada pasaran Bahasa Melayu?

Sudah tentu. Tapi ini tak bermakna saya hanya mengejar wang dan populariti semata-mata.

Kalau boleh, saya lebih gemar dapat berjalan tanpa dikenali oleh sesiapa pun. Tapi dengan pendapatan yang sangat lumayan walaupun saya baru berumur 23 tahun (ketika temuramah ini), pastinya ia pelik jika saya menolaknya.

Saya melakukannya kerana ia wajar untuk dilakukan. Jujurnya, I don’t enjoy it. Saya sangat introvert dan persembahan di khalayak ramai merupakan sesuatu yang sukar.

Menghadiri majlis, berjumpa ramai orang dan bersosial merupakan perkara yang sangat memenatkan. Tetapi saya tidak merungut kerana ada lebih banyak kerjaya yang lebih sukar daripada ini.

Apakah falsafah anda mengenai wang?

Wang bagi saya, bukan segala-galanya, tetapi ia penting. Ia hanyalah sehelai kertas atau angka … Tetapi ia merupakan keperluan. Anda tidak perlukan terlalu banyak wang; ia tidak akan menjamin kebahagiaan.

Apa yang anda perlukan adalah wang yang cukup. Selagi anda masih bahagia, apa sahaja jumlah wang sudah memadai.

Adakah anda seorang yang suka berjimat atau berbelanja?

Semestinya seorang yang suka berjimat. Saya sebenarnya agak pelik dalam berbelanja. Jika untuk diri sendiri, saya amat berjimat-cermat. Tetapi untuk orang lain, saya akan go all out.

Dan setahun sekali, saya akan peruntukkan sejumlah wang untuk membeli benda yang betul-betul saya mahukan. Contohnya, saya akan membeli beg berharga RM 6,000. Tetapi hanya setahun sekali. Pada hari jadi saya.

Selalunya wang saya akan disalurkan ke simpanan, akaun fixed deposit saya, diberi kepada ibu-bapa, dan 10% saya akan derma ke gereja. Had perbelanjaan yang saya tetapkan hanya RM 3,000 ke RM 4,000 setiap bulan.

Anda pilih wang tunai atau kad kredit?

Kebiasaannya kad kredit. Jika saya guna wang tunai, saya akan mengeluarkan wang sehingga saya tidak boleh track apa yang saya telah belanjakan.

Tetapi dengan kad, saya tahu apa yang saya telah belanjakan. Saya mampu mengawal diri saya dengan lebih baik jika menggunakan kad.

Jadi, anda gunakan kad kredit untuk mengawal perbelanjaan?

Ya, kerana saya akan berbelanja tanpa berfikir panjang jika saya gunakan wang tunai. Jika saya ada wang tunai, saya hanya akan bayar, bayar dan bayar. Tetapi dengan kad, saya akan berhenti sejenak dan bertanya “Berapa harganya?”, baru saya buat keputusan untuk beli atau tidak.

Ketika saya mula-mula mendapat bayaran pada peringkat awal, rakan saya mengajar saya sistem pembahagian wang.

10% , untuk gereja; 20%, untuk keperluan seperti makanan dan pengangkutan; 20%, duit untuk suka-suka seperti shopping; 40%, untuk simpanan; 10%, untuk didermakan dan diberi kepada ibu-bapa saya.

Hadiah yang paling besar kepada diri sendiri semasa menerima bayaran pertama anda sebagai artis?

Beg tangan Prada pertama saya. Harganya adalah RM 8,000 dan saya ketika itu seperti, oh my gosh …

Semasa saya berumur 15 tahun, ada rakan-rakan ibu saya yang berada menawarkan untuk membelikan saya beg Prada. Tetapi saya beritahu ibu, “No, no, no, no … Jika saya nak beg Prada, saya akan beli dengan duit sendiri.”

Jadi, semasa saya berjaya membeli beg tangan Prada pertama saya, ia adalah lambang pencapaian bagi diri saya.

Apakah peranan keluarga anda dalam membentuk cara anda menguruskan wang?

Ibu saya sangat pandai menguruskan wang. Beliaulah yang mengajar saya mengenai fixed deposits, dan menggalakkan saya untuk menyimpan wang dalam amanah saham dan stok saham.

Beliau juga mengajar saya untuk tidak menyimpan wang di tempat-tempat begitu sahaja. Saya juga perlu laburkan wang dalam hartanah dan aset-aset lain.

Apakah sasaran pelaburan anda selepas ini?

Saya belum mempunyai aset hartanah sendiri, tetapi rakan saya menasihatkan saya untuk tidak membeli sebarang aset hartanah untuk tempoh dua tahun lagi.

Jadi, saya sedang menyimpan wang untuk setahun atau dua bagi membolehkan saya membeli aset hartanah sendiri.

Jenis hartanah bagaimana yang anda maksudkan?

Bukan yang terlalu mahal atau canggih. Saya mensasarkan unit kondominium yang sederhana.

Contohnya, unit kondominium yang abang saya beli pada harga RM 360,000. Selepas 3-4 tahun, ia kini bernilai lebih kurang RM 500,000 ke RM 600,000.

Ia bukan pelaburan yang 100% terjamin, tetapi pelaburan hartanah lebih stabil.

Wang mengawal anda atau anda mengawal wang?

Saya tidak bekerja untuk wang. Tetapi dalam masa yang sama, saya tidak mahu jadi pemalas.

Adakah populariti anda melonjak terlalu pantas?

Ya. Saya sangat bertuah kerana nama saya melonjak terlalu pantas dalam tempoh  3 tahun.

Kini, walaupun ramai yang cuba melakukan apa yang saya lakukan di YouTube, namun masih belum ada yang berjaya sepantas saya.

Kadangkala saya tidak faham. Kenapa saya? Sesetengah dari mereka di YouTube jauh lebih bagus dari saya.

Bagaimana anda mengawal stres yang dihadapi dalam kerjaya?

Kerjaya saya sangat memberi stres dan tekanan. Saya kemurungan untuk tempoh yang sangat lama, walaupun peminat tidak tahu.

Kini, saya beransur pulih boleh berdiri kembali.

Saya seakan-akan dicampak ke lautan dunia selebriti dan tidak pernah sangka untuk dilayan seperti seorang bintang.

Jadi, saya perlu belajar menyesuaikan diri dengan sangat pantas.

Sebelum ini, saya langsung tidak tahu mengenai industri muzik Melayu. Saya langsung tidak mengenali sesiapa. Bahasa Melayu saya juga terhad dan saya hanya pandai menyanyikan lagu genre jazz — sesuatu yang tidak diterima secara meluas dalam pasaran bangsa Melayu.

Pada pendapat anda, apakah yang patut dikurangkan oleh golongan muda di Malaysia?

Sebenarnya, kita boleh hidup tanpa memerlukan terlalu banyak perkara. Saya rasa golongan muda boleh mengubah mindset untuk mengurangkan kebergantungan serta mengharapkan perkara-perkara yang mewah.

Contohnya, jika anda mahu membeli kereta dan kewangan anda belum kukuh; jangan beli Civic. Myvi sudah memadai dan dah okay pun.

Semuanya mindset. Orang ramai sering menggunakan media sosial untuk menayangkan kereta baru, beg baru … Akhirnya, tiada siapa akan peduli apa yang anda beli selepas anda mati.

Jika anda perlukan pengiktirafan dari orang lain untuk bahagia, anda perlu ubah mindset anda. Bukannya tak boleh hidup jika anda tiada sesuatu benda yang mewah. Ia hanya mindset anda sendiri.

Mindset yang sepatutnya dikurangkan dan tak diperlukan.

Apakah nasihat anda kepada rakyat Malaysia berkaitan kewangan dan mengejar impian masing-masing?

Simpan wang anda. Saya kenal ramai orang yang tidak mempunyai simpanan. Kalau anda anda kecemasan dan tiada insurans atau simpanan, siapa yang nak bantu anda?

Pastikan anda ada perancangan simpanan untuk masa hadapan. Jangan hanya fikir mengenai masa sekarang.

Soalan terakhir adalah soalan rawak. Jika saya buka dompet anda sekarang, apa yang saya akan jumpa?

Saya boleh tunjukkan kepada anda. Tiada apa-apa sangat, dan saya hanya letak beberapa wang tunai, kad kredit, kad insurans & kad rumah… Saya sebenarnya tidak ada dompet pun.

daftar ijual


Sumber:

1. Surendra, E. (2016, December 28). Elizabeth Tan: Braving Stardom With Financial Foresight. Retrieved August 9, 2017, from https://www.imoney.my/articles/elizabeth-tan-interview-imoney

Sell anytime, anywhere — with just a link through your smartphone!

To contribute your articles, drop us an email at: [email protected]

Jual bila-bila masa, di mana sahaja — dengan hanya satu link melalui smartphone anda!

Hantar artikel anda ke: [email protected]

Comments are closed.